Kejelikan Orang Melayu- episod 2

Monday, October 5, 2009

 

Apabila kerajaan menggerakkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan percaya bahawa orang Melayu yang paling utama mendapat faedah, hasil daripada dasar ini diharap rakyat berterima kasih atau sekurang-kurangnya menghargai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan. Kerajaan mengharapkan di kalangan golongan elit baru , akan muncul penyokong dan pemimpin yang akan meneruskan dasar tersebut sehingga matlamatnya tercapai sepenuhnya.

Malangnya, rasa terima kasih dan penghargaan dicantas oleh pihak-pihak tertentu (parti politik) yang berusaha meracuni pemikiran pelajar sejak peringkat awal lagi dan memberitahu mereka bahawa kerajaan di mana-mana pun akan melakukan perkara yang sama untuk mereka. Mereka tidak perlulah bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan sedia ada sekarang. Mereka tidak perlu berasa terhutang budi kepada kerajaan walaupun kerajaan memainkan peranan mencari dan mengagihkan kekayaan. Hasutan ini yang berlawanan dengan ajaran Islam nampaknya tidak dipedulikan.

Semasa pentadbiran British, terlalu sedikit orang Melayu yang dapat memasuki universiti. Pelajar bukan Melayu melebihi pelajar Melayu dengan nisbah 10 berbanding satu. Pada hari ini, setiap anak Melayu boleh mendapat biasiswa dan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Jika mereka tidak layak, kerajaan akan memberikan bimbingan khas supaya mereka dapat memasuki universiti dengan kelayakan minimum. Jika anda menganggap ia adalah hak anda maka anda tidak perlu berterima kasih kepada kerajaan. Oleh sebab tiada perasaan terhutang budi, mereka merasakan tidak perlu untuk belajar dengan kuat. Mereka tercebur jauh ke dalam kancah politik berat sebelah.

Begitulah serba sedikit realiti yang berlaku pada generasi muda sekarang. Mereka mudah lupa kepada pemimpin terdahulu yang telah banyak memberi sumbangan kepada generasi sekarang. Cacian dan penghinaan dalam bahasa yang amat menjijikkan dilontarkan kepada kerajaan yang telah banyak memberi jasa sehingga terbinanya sebuah negara yang cukup baik sifatnya. Memang ada kurangnya tetapi itulah tugas generasi sekarang untuk memperbaikinya dan bukan menidakkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan.

Ada segelintir kalangan kita yang mempersoalkan apa sumbangan kerajaan kepada rakyat dan ada yang menuduh kerajaan membelakangkan Islam tanpa membuat 'research' terlebih dahulu. Betapa dangkalnya manusia sebegini yang hanya tahu bercakap dan menjatuhkan hukum walaupun sedar sumbangan kerajaan terhadap negara. Golongan ini menganggap apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang boleh dilakukan mana-mana kerajaan di dunia ini.

Aku bersyukur kerana negara kita setakat ini kekal aman serta stabil dan membangun dengan amat baik berbanding dengan negara jiran yang lain. Aku berharap keadaan ini akan berterusan dan maju seiring dengan kehendak Islam khususnya. Aku percaya Islam yang didasarkan oleh pemimpin yang terdahulu telah menampakkan kesannya pada generasi sekarang cuma perlu diperkasakan oleh generasi sekarang. Aku berharap tidak kira siapa yang memerintah tetapi haruslah jatuh kepada pemimpin yang betul-betul sayangkan agamanya dan ikhlas untuk melihat anak Melayu lebih berjaya daripada kaum-kaum yang lain. Aku cukup sayangkan negara ini dan tidak mahu orang Melayu berpecah-belah disebabkan politik menjaga hati. Semoga tuhan menyelamatkan negara kita daripada pemimpin-pemimpin yang durjana.....

Aminnn........

0 comments: